KEMBALIKAN SINAR KEMANUSIAAN DI BUMI PALESTIN

Serangan Tentera Penjajah Zionis Israel ke atas umat Islam di Masjidil Aqsa yang berlaku
ketika Ramadan telah mencemari hak umat Islam untuk beribadat apatah lagi ianya berlaku di bulan
yang mulia. Pihak Tentera Penjajah Zionis Israel seharusnya menghormati hak umat Islam
sebaliknya bertindak mencabulinya dengan menggunakan senjata dan kekerasan terhadap umat
Islam di dalam Masjid suci ketiga bagi seluruh masyarakat Islam. Dunia telah mengiktiraf bahawa
Masjidil Aqsa adalah hak milik umat Islam menerusi resolusi Pertubuhan Pendidikan, Sains dan
Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) pada tahun 2016. Pengiktirafan ini
menyaksikan Amerika Syarikat dan negara haram Israel telah bertindak keluar dari UNESCO.

Kejadian yang berlaku di Baitulmaqdis itu tidak sahaja tertempu di Masjidil Aqsa,
sebaliknya penduduk di Perkampungan Sheikh Jarrah telah dihalau oleh Tentera Penjajah Zionis
Israel tanpa sebab yang munasabah di dakwa bagi memberi laluan kepada penempatan haram
penduduk Israel. Hal ini jelas bertentangan dengan Matlamat 11 SDG: Menjadikan Bandar Dan
Penempatan Manusia Yang Inklusif, Selamat, Berdaya Tahan Dan Lestari. Tindakan ini juga jelas
tidak berperikemanusian apabila menyebabkan rakyat Palestin hilang kediaman dan tempat
perlindungan serta benar-benar mencemari hak kemanusian sejagat.

Tidak cukup dengan hak umat Islam untuk beribadah dan pengusiran penduduk
Perkampungan Sheikh Jarrah dari kediaman mereka, Semenanjung Gaza iaitu tanah Palestin yang
terpisah dari Tebing Barat (dimana beradanya Masjidil Aqsa) dengan negara Haram Israel sebagai
pemisahan pula diserang dengan bom, peluru berpandu dan serangan jet perjuang. Apa yang
menyedihkan bagi dunia perjuangan kemanusiaan apabila melihat setakat ini sekurang-kurangnya
143 rakyat Palestin telah terkorban termasuk 40 orang kanak-kanak dan 23 wanita manakala lebih
1,000 orang tercedera. Beberapa bangunan dan kemudahan awam juga dilaporkan musnah dan
rosak akibat serangan oleh Tentera Penjajah Zionis Israel.

MyHumanitarian sebagai badan bukan kerajaan yang sentiasa memperjuangkan nilai
kemanusiaan sejagat menyelar tindakan tidak berperikemanusiaan oleh Tentera Penjajah Zionis
Israel. Selaras dengan Matlamat 16 SDG: Keamanan, Keadilan Dan Institusi Yang Kuat, maka kami
mendesak agar tindakan zalim dan tidak berlandaskan nilai kemanusiaan itu hendaklah dihentikan
serta merta oleh pihak Zionis Israel. Setiap insan bukan sahaja di bumi Palestin layak untuk hidup
dengan aman dan harmoni tanpa dicemari dengan insiden keganasan, kekejaman dan Tindakan
tidak berperikemanusiaan.

Sudah tiba masanya semua pihak samada Pertubuhan Kerajaan mahupun badan bukan
kerajaan dapat bersama-sama di bawah inisiatif yang digerakkan oleh Yayasan MyAQSA yang telah
berusaha untuk mengheret negara haram Israel ke muka pengadilan dan kini berjuang bersama
pasukan peguamnya di Mahkamah Jenayah Antarabangsa bagi mendakwa negara haram Zionis di
atas jenayah perangnya dan jenayah kemanusiaan terhadap rakyat serta negara Palestin. Sudah
pastinya seluruh kepakaran dan tenaga diperlukan untuk berhadapan dengan negara haram Israel
yang mempunyai rangkaian dan sumber yang besar jika dibandingkan dengan NGO dari Malaysia
ini. Kita harus memandang usaha melalui saluran perundangan ini perlu diberikan perhatian sebagai
penyelesaian jangka panjang untuk keadilan buat rakyat Palestin.

Ketika saat geting ini, semua pihak tanpa mengira bangsa, agama dan keturunan harus
berdiri bersama-sama untuk menuntut keadilan serta nilai kemanusiaan dapat kita ditegakkan. Apa
yang berlaku hari ini di Palestin bukan lagi menyentuh aspek keagamaan semata-mata namun ianya
menuntut nilai kemanusiaan agar dapat dilaksanakan seadil-adilnya. Begitu juga dengan isu dalam
dan politik negara Palestin yang seharusnya kita ketepikan buat seketika kerana kebersatuan dan
perpaduan amat penting bagi mengharungi saat yang mencabar ini.

Pihak MyHumanitarian juga menyambut baik usaha terbaru yang dilancarkan oleh
Yayasan MyAQSA apabila memperkenalkan MyAQSA Fund yang ditubuhkan sebagai platform
alternatif kepada mana-mana pihak yang ingin menyumbang kepada Masjidil Aqsa secara terus dan
telus. Tindakan ini harus disambut baik oleh semua pihak kerana mengangkat nilai amanah dan
ketelusan pengurusan sesebuah tabung kutipan apatah lagi apabila ianya melibatkan masjid suci
bagi umat Islam. Bagi mereka yang ingin menyeluarkan sumbangan boleh berbuat demikian
sumbangan menerusi saluran Payment Gateway Billplz (https://www.billplz.com/MyAQSAFund)
atau menerusi Cheque/Deposit Tunai/Online Transfer kepada akaun Yayasan MyAQSA (CIMB Bank:
8603464258) dengan rujukan “MyAQSA Fund” @ “Tabung ASQSAKU”. Maklumat lanjut berkenaan
tabung ini juga boleh dilayari di laman sesawang mereka iaitu www.myaqsa.my.


‘Leave No One Behind’


KHAIRUL ANNUAR MANSOR
Presiden
Persatuan Gerakan Kemanusiaan Malaysia
(MyHumanitarian)


Tarikh: 17 Mei 2021

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *