Hari ini secara rasminya Persatuan Gerakan Kemanusiaan Malaysia (MyHumanitarian) telah diberikan tanggungjawab untuk meneruskan Misi Ke-2 Program Komuniti Gotong-royong Membina Saluran Air Bersih Di Kawasan Pedalaman N77 Telang Usan, Miri Sarawak.
Setinggi-tinggi tahniah dan terima kasih diucapkan kepada Kerajaan Negeri Sarawak dan YB Dennis Ngau diatas inisiatif dan usaha untuk membantu masyarakat pedalaman N77 Telang Usan menikmati bekalan air bersih dan sekali lagi telah memberi kepercayaan kepada MyHumanitarian untuk meneruskan program ini di Rumah Panjang Kampung Uma Akeh dan di Sekolah Kebangsaan St Pius Kampung Long San.
Insya’allah, seperti yang dibincangkan tadi, sukarelawan MyHumanitarian akan memulakan gerak kerja dan membuka sekretariat secara rasmi pada awal bulan Julai ini dikedua-dua lokasi.
Terima kasih diucapkan juga kepada YBrs. Dr Mohamed Maliki Mohamed Rapiee, Penasihat MyHumanitarian yang turut sama hadir ke sesi perbincangan tadi. Dengan kepercayaan dan amanah yang telah diberikan kepada MyHumanitarian, akan kami pastikan program ini berjaya dan dapat memberikan sinar kegembiraan kepada penduduk kampung dan pelajar-pelajar sekolah di kawasan pedalaman menikmati bekalan air bersih.
Kepada semua sukarelawan MyHumanitarian, harap bersedia fizikal dan mental untuk terus mencurahkan bakti di bumi pedalaman Miri Sarawak ini.
‘Leave No One Behind’